Siapakah Akan Berada Di Barisan 313 Nanti? Inilah Ciri-Ciri Mukmin Sejati! Jagalah Solat Biarpun Dimana Jua. – Nok Geroh

7 Ogos 2018, Tular sebuah klip video memaparkan seluruh penumpang pesawat kapal terbang melaksanakan solat dimana juruterbangnya menjadi imam bagi keseluruhan makmum yang berada didalam pesawat.

Mungkin perjalanan mereka jauh untuk menuju destinasi dan tiada daratan untuk berhenti melakukan solat. Walaubagaimanapun, kita sedia maklum yang agama islam itu memudahkan umatnya untuk melakukan ibadat dimana-mana.



INILAH HUKUM DAN KAEDAH MELAKUKAN SOLAT DIATAS PESAWAT

Dibolehkan solat dalam kenderaan samada kereta, teksi, bas ekspres, perahu, kapal selam, kapal terbang dan apa jua medium pengangkutan. Dalil yang membolehkan ialah hadith berikut daripada Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu di mana telah bertanya seorang sahabat kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Bagaimanakah cara saya bersolat dalam perahu ? Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab: Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam.

Hadith di atas adalah sebagai dalil bolehnya bersolat di atas kenderaan tidak kira apa jenis kenderaan itu kerana pelajaran hadith (illat) bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah kebolehan perlaksanaan solat di atas kenderaan. Jikalau solat secara berdiri di atas kenderaan adalah berbahaya atau menyukarkan maka boleh bersolat secara duduk, diteladani dari perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabat yang pernah bersolat secara duduk di atas kenderaan tunggangan mereka.

Kesukaran yang dihadapi itu tidaklah sampai ke tahap darurat tetapi adalah memadai dengan sesuatu yang memberatkan. Hadith berikut menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan sahabatnya pernah solat di atas tunggangan mereka bagi mengelak dari terperangkap dalam cuaca hujan lebat – Ya’la bin Murrah radiallahu-anhu menerangkan bahawa para sahabat pernah beserta Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam satu perjalanan lalu sampai ke satu lembah sedang beliau berada di atas kenderaannya; dan langit pula sangat mendung dan di bawahnya sangat basah.



Kemudian datang waktu solat lalu beliau memanggil tukang muadzzinnya lalu ia azan dan iqamah lantas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam terus maju dengan kenderaannya dan solat berjamaah bersama mereka (para sahabat). Beliau memberi isyarat yang sujudnya lebih rendh dari rukuknya.

Dua hadith di atas jelas membolehkan solat-solat fardhu dilaksanakan di atas kenderaan dan jikalau seseorang itu menghadapi suasana kesukaran maka boleh dilaksanakan secara duduk. Demikianlah teladan yang diriwayatkan dari para sahabat seperti Anas bin Malik, Jabir, Tawus, Zaid dan lain-lain, radiallahu-anhum.[13] Solat sebegini adalah tetap sah jikalau kesukarannya itu adalah benar-benar ikhlas dan ia tidak perlu diulangi.



Akan tetapi jikalau tidak menghadapi kesukaran dan dia bersolat secara duduk di atas kenderaan maka solatnya itu adalah tidak sah kerana dianggap sengaja mengabai serta meremehkan rukun kewajipan solat.VDemikian menurut ijma’ para fuqaha Mazhab Shafie, Maliki, Hanbali dan lain-lain.

Imam an-Nawawi mensyarahkan: Menurut pendapat mazhab kami (Mazhab Shafie), apabila seseorang bersolat fardhu di dalam kapal maka tidak boleh baginya mengerjakan solat dengan duduk selama sanggup berdiri. Diserupakan orang itu dengan keadaan di darat. Demikianlah juga pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, boleh dikerjakan dengan duduk kalau kapal itu sedang bergerak.

Menurut pendapat ulama’-ulama’ Mazhab Shafie jika orang yang sedang solat itu sedang kepeningan (mabuk laut) umpamanya maka bolehlah dia mengerjakan solat fardhunya sambil duduk kerana dia di pandang sebagai tidak upaya berdiri. Dan jika angin bertiup dan beralih haluan kapal lalu beralih juga mukanya dari arah qiblat wajiblah dia memutarkan badannya ke arah qiblat itu dan terus mengerjakan solat.



Kaedah menunaikan solat fardhu di atas pesawat terbang adalah sama dengan kaedah solat di darat. Hanya apabila timbul kesukaran maka kesempurnaan gerak laku solat itu berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi. Ia mempunyai kesamaan dengan kaedah solat orang yang sakit dalam beberapa keadaan dan berbeza pula dalam beberapa keadaan lain, iaitu:

1.Hendaklah berusaha sekuat mampu bagi mencari tempat untuk bersolat dengan sempurna. Bertanyalah kepada anak kapal akan ruang sebaiknya untuk bersolat dan jikalau ruang itu digunakan oleh mereka dalam kesibukan kerja-kerja kabin maka tunggulah hingga kerja mereka berkurang atau selesai. Satu alternatif lain ialah memilih penerbangan dengan syarikat Muslim kerana anak-anak kapalnya akan lebih memahami kehendak kita dan berusaha menolong berbanding dengan syarikat penerbangan non muslim.

2.Jikalau sedang solat dan pesawat bergoyang sedikit maka dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar kepada dinding atau kerusi bagi mengimbangkan diri, mengingatkan kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang solat dengan bersandarkan tiang di kala umurnya sudah lanjut.



3.Jikalau pesawat banyak bergoyang sehingga membimbangkan maka dibolehkan solat duduk dengan rukuk secara membongkok dan sujudnya seperti biasa hingga ke lantai pesawat. Jikalau sedang bersolat secara berdiri dan dipertengahannya pesawat mula bergoyang maka teruslah solat dengan duduk sehingga habis tanpa perlu dimulakan semula.

4.Jikalau goyangan pesawat adalah keterlaluan hingga terbitnya tanda ‘Pasang tali pinggang keselamatan’ atau ‘Fasten seat belt’ maka sebaiknya ialah duduk dahulu dan bersolatlah kemudian apabila suasana kembali tenang. Memaksa diri beribadat sehingga mendatangkan kecederaan bukanlah sesuatu yang dicenderungi agama malah akan dipertangunggkan jikalau kecederaannya itu menyebabkan dia tidak dapat meneruskan ibadah yang lain, meninggalkan amanah tanggungan dan menyusahkan pula orang lain. Jikalau goyangan pesawat berlanjutan sehingga dijangka akan melewati waktu solat (contohnya solat subuh) maka laksanakanlah ia secara duduk di kerusi sendiri.

5.Jikalau tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat ditempat duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah dari rukuk. Perintah menghadap qiblat tetap hadir sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
Jikalau terdapat dua pilihan, satunya ialah boleh menghadap ke arah qiblat tetapi solatnya harus secara duduk manakala yang kedua ialah boleh solat secara sempurna tetapi tidak dapat menghadap qiblat melainkan di takbir yang pertama maka hendaklah dia mengutamakan solat menghadap qiblat sekalipun secara duduk kerana solat secara duduk sememangnya dibolehkan oleh nas yang jelas di kala kesukaran manakala solat tanpa menghadap qiblat dengan sempurna adalah satu kebolehan yang diijtihadkan.

KESIMPULANNYA
1.Solat di atas pesawat terbang atau apa-apa jua medium pengangkutan adalah dibolehkan.
2.Perlaksanaan solat di atas pesawat adalah tetap wajib seperti kaedah yang biasa kecuali jikalau menghadapi kesukaran maka dibolehkan duduk dan sebagainya selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi.
3.Solat sebegini adalah sah dan tidak perlu diulangi.
4.Sementara itu tidak sah solat secara duduk jikalau tiada kesulitan untuk melaksanakannya secara berdiri. Malah dia dikira berdosa kerana sengaja meremehkan perintah agama.



Related Posts

About The Author

Add Comment

error: Content is protected !!